Keadaan tapak pasar malam yang sangat kotor dengan sampah-sarap bukan lagi satu pemandangan pelik di Malaysia. Namun ia tidak bermakna sesuatu yang biasa itu wajar dibiasakan, lebih-lebih lagi ia satu keadaan yang tidak baik. Saya tidak pasti jika pihak Majlis Perbandaran memang ditugaskan untuk mengutip sampah-sarap setelah habis pasar malam. Walau apapun, saya pasti lebih baik jika setiap penjual itu sendiri bertanggungjawab membersihkan kawasan masing-masing.

Jika setiap penjual memastikan tapak mereka bersih sebelum mereka meninggalkan kawasan itu, sudah tentu pihak Majlis Perbandaran akan lebih mudah untuk membuat pembersihan seterusnya seperti mengutip sampah-sarap dari tong sampah besar. Masalah sampah-sarap yang dibiarkan berselerak bukan setakat mengotorkan kawasan pasar malam. Apabila angin bertiup, sampah-sarap akan bertebangan hingga ke kawasan jalan raya dan taman perumahan. Saya amat kesal melihat penjual terus meninggalkan kawasan mereka tanpa peduli langsung yang kawasan mereka itu banyak sampah.

Saya juga amat kesal melihat penjual yang menjual makanan mereka secara terdedah, langsung tidak menutup makanan mereka dengan penutup. Mereka hanya mengambil langkah menghalau lalat yang hinggap. Namun mereka tidak sedar yang udara sekeliling juga boleh mencemari makanan yang mereka jual. Mereka juga tidak menggunakan teknik yang betul untuk mengambil makanan seperti menggunakan penyepit, dan bukan memegang terus dengan tangan.

Saya mencadangkan jika penjual-penjual pasar malam ini diberi taklimat tentang kebersihan tapak dan makanan. Mereka juga harus diberitahu tentang cara-cara yang betul untuk mengendalikan makanan. Hal ini mungkin dipandang remeh kerana mereka menggunakan cara yang sama mereka gunakan di rumah. Pihak berkuasa harus memantau sikap penjual ini dari masa ke semasa. Pihak berkuasa juga harus memastikan yang setiap penjual mematuhi peraturan tentang kebersihan tapak dan makanan, dan mereka juga tahu tentang akibat jika mereka tidak ambil endah soal kebersihan.

Pemerhatian ini saya lakukan di sekitar pasar malam di Perlis.

By: Syamim Hashim

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.